26
Jul
09

CERITA CERITA ORANG BIASA – GERSANG DAN MENGGURIS by HISHAMUDDIN RAIS

Selalunya jika bosan – aku akan ke Jalan Hang Lekir – terletak di hujung kaki Jalan Petaling. Disana ada sebuah kedai kopi yang selalu aku layan. Kopinya – secara jujur aku nyatakan – memang tidak menarik. Apa yang menarik ialah aku berkemungkinan meneliti orang keluar masuk – mundar mandir – dari Jalan Petaling – walau pun ini bukan jalan utama.

Melihat orang berjalan ke hulu ke hilir – pergi mudek – adalah ruang rehat yang paling nikmat. Sambil menghirup kopi pahit – sebatang demi sebatang keretek lari dari kotaknya untuk menerbus masuk ke dalam kerongkong aku. Ini dipayungi oleh cuaca petang yang ranum – mengingatkan aku kembali kepada cuaca petang ditepi pantai Telok Kemang.

Kawasan ini adalah wilayah kota kita yang tidak mengada-ngada. Kawasan yang tidak berangan-angan untuk berlagak meniru dan berperangai dengan memakai bedak gincu seperti kota Paris atau London. Kawasan ini meriah dan berencam dengan kekitaan yang melambang alam dunia ketiga. Ianya agak lekeh tetapi daerah hidup indah dengan berjiwa bugar.

Ada sebuah bar menebeng di tepi dinding – di gigi akhir Jalan Petaling. Ini adalah bar untuk mereka yang memang betul-betul tahu apa itu alcohol. Bar ini bukan untuk dilanggani agar dapat melihat atau dilihat baju yang dipakai atau feshen terbaru dari kota Milan. Di bar ini pelanggan datang untuk menikmati alcohol bukan untuk cantik dan bergaya.

Warga yang membeli belah di wilayah ini adalah pemakai dan pengguna setia segala bentuk barang tiruan. Mereka ini adalah pengguna setia barangan buatan buruh-buruh murah dari Tiongkok. Buruh-buruh yang gajinya tidak melebihi 5 ringgit sehari.

Entah bagaimana ianya bermula – tidak pula aku ketahui – daerah pusat kota yang ini – telah menjadi tempat jantan bertemu betina. Entah bagaimana surah sejarahnya daerah ini sedang menjadi tempat dimana dipertemukan lelaki gersang dengan perempuan bertubuh montok lagi gebu. Mungkin tarikan ulung – untuk mereka berkumpul dan bertemu – kerana wujudnya hotel-hotel murah yang berselirat di daerah ini.

Jantan-jantan gersang ini kita lihat saban hari membanting tulang membina bangunan-bangunan tinggi dalam kota kita ini. Kita melihat mereka dari jauh tetapi kita tidak pernah mengenali siapa mereka itu sebenarnya. Mereka ini adalah jantan jantan tanpa betina yang kita jemput memburuh di negara kita. Badan-badan sasa ini adalah warga setia daerah ini. Merekalah yang meraya dan menghidupkan daerah-daerah lekeh dalam kota kita ini.

Pelik tetapi benar – di daerah China Town ini bukan China Doll yang langsing dan ranggi yang berligar-ligar mencari pelanggan tetapi Mami-Mami India yang montok-montok. Pernah aku terfikir untuk bertanya berapa harganya jika aku melanggan badan mereka. Hingga ke hari ini – soalan dan harapan ini – masih tinggal harapan.

Satu masa dahulu – lima tahun dulu – daerah ini menjadi tempat berkumpulnya kaki kaki busuk dari Iran. Kenapa mereka berkumpul disini hingga ke hari ini masih menjadi tanda tanya yang tidak mungkin aku jawab. Ini kerana mereka – warga Iran ini – telah hilang dari penglihatan. Tempat mereka ini telah diambil alih oleh Mami-Mami India.

Punggung aku bersantai di kerusi plastik sambil mata aku meliar melihat orang berjalan. Ada yang berdua, ada yang berkumpulan, ada dengan keluarga, ada awek dengan balak, ada minah dengan minah, ada mamat dengan mamat dan ada yang sendirian seperti aku yang datang untuk membunuh masa dan menunggu malam.

Sedang aku ngelamun sendirian seorang lelaki datang ke meja aku. Dia ingin menjual kertas-kertas rezeki agar aku menjadi kaya. Aku tersenyum lalu aku pelawa dia duduk. Dia enggan kerana dia sedang bekerja – beralih dari badan ke badan – menusukkan kertas-kertas rezeki ini.

Aku juga pernah berjudi dan aku tahu nimat berjudi. Tetapi aku tidak akan mengeluarkan dana untuk mengguris dan menang. Aku berjudi apabila aku melihat sang kuda memacu laju. Aku berjudi apabila aku melihat anak muda rancak menendang bola. Tetapi aku tidak akan terpengaruh untuk mengguris nasib aku tanpa asas yang dilanggan oleh fikrah aku.

Manusia dalam dunia ini penuh dengan mimpi-mimpi untuk melakukan sesuatu yang diluar keupayaan mereka. Inilah tabiat manusia.

Demi Zeus – aku teringat kepada Icarus – yang bercita-cita untuk terbang meninggalkan pulau tempat kelahiran nya. Icarus mati terdampar apabila lilin dikepaknya cair dipanah matahari. Kita semua ini adalah Icarus yang bermimpi ingin terbang meninggalkan asal usul kita. Ramai diantara kita akan terdampar mati sebelum kita sampai ke mimpi yang kita mimpikan.

Dia memaparkan kertas-kertas kaya itu ke hadapan meja aku. Aku menolak sambil ketawa. Dia tersenyum sama. Senyuman ini menjadikan kami berkenalan untuk sementara. Ini kali pertama aku melihat si lelaki ini. Atau mungkin Dia telah pernah aku temui di daerah lain.

Anaknya tiga orang. Satu ketika yang tidak lama dahulu Dia ada memiliki sebuah kedai kecil di Kota Raya. Dia menjual surat khabar, majalah, buku dan segala macam rokok. Sewa semakin meningkat dan pelanggan semakin berkurangan. Dia melambakkan waktu yang lama di kedai. Dia hanya memiliki waktu sebagai modal. Akhirnya Dia tewas. Dia diwajibkan mengosongkan kedai. Dia tidak lagi memiliki keupayaan untuk membayar sewa.

Lalu Dia melamar kerja untuk berjajan kertas kaya ini. Setiap keping kertas yang berharga 3 ringgit ini jika terjual Dia akan mendapat 60 sen. Aduh ! Berapa helai agaknya kertas ini akan terjual dalam sehari. Dia wajib mundar mandir sekeliling kota – menapak dari meja ke meja – dengan harapan ada kertas akan terguris. Kalau kota kita ini dipenuhi oleh penjudi seperti aku – penjudi rasional – maka mungkin Dia akan mati kebuluran.

Demi Zeus – nasib Dia agak baik. Dia tinggal bersama isteri dan anak di Jalan Alor. Dua bilik kecil yang didiami sewanya dibayar oleh tuan empunya syarikat kertas kaya ini.

Siapa agaknya tuan empunya syarikat kertas ini. Alangkah nikmatnya kehidupan tuan empunya syarikat ini. Betapa kecil modal perniagaannya. Pasti lebih murah dari sewa sebulan kedai runcit di Kota Raya. Apa yang perlu dimodalkan hanya mencetak kertas-kertas kosong dan menjualnya dengan harga 3 ringgit sekeping. Dalam seribu keping mungkin ada sehelai kertas yang diguris akan muncul angka untuk memenangi 100 ringgit.

Demi Zues – aku sedar – kertas-kertas kaya ini adalah satu impian warga kota. Kertas kecil ini adalah satu harapan untuk warga-warga miskin untuk menjadi kaya raya. Aku tahu – bukan satu kesalahan untuk bermimpi dan berangan-angan. Mimpi dan angan-angan ini hingga ke hari ini – dari apa yang aku tahu – masih lagi percuma dan belum dikotak untuk diswastakan.

Bayangkan hidup ini jika kita tidak dibenarkan bermimpi dan berangan-angan – betapa gersangnya hidup ini.

Dia meminta diri untuk meneruskan kerja. Mata aku kembali liar memerhati Mami dan Aci yang masih belum mendapat pelanggan. Petang telah berlarut. Jantan tanpa betina semakin ramai meleser. Lampu-lampu neon mula menyala untuk mengindahkan lopak-lopak jalan yang berlubang-lubang.

Mami dan Aci semakin dilihat cantik oleh panahan lampu-lampu neon yang bersinar. Dia telah hilang jauh dari penglihatan. Setiap orang yang berligar-ligar di daerah ini penuh dengan harapan dan mimpi. Ada yang mengguris rezeki. Ada yang mengangkang mencari rezeki. Ada yang berjaja mencari rezeki. Ada yang menunggu jantan gersang untuk membawa rezeki. Dan aku pun bangun sama beralih untuk mencari rezeki malam.


0 Responses to “CERITA CERITA ORANG BIASA – GERSANG DAN MENGGURIS by HISHAMUDDIN RAIS”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


Flickr Photos

Frozen lake

Chronique d'Angrignon | Harle couronné mâle | Parc Angrignon | Arrondissement Sud-Ouest | Montréal

'Beware the Facehuggers'

More Photos
July 2009
M T W T F S S
« Jun   Aug »
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  

Pages

Top Clicks

  • None

%d bloggers like this: